PKR-Umno ‘bertaut’ di Rembau

PKR-Umno ‘bertaut’ di Rembau
Jimadie Shah Othman | Jul 10, 08 6:30pm 
Walaupun kedua-duanya bukan tokoh besar, namun naib ketua Pemuda sebuah cawangan Umno dan penyelaras bahagian PKR Rembau berpakat mengambil satu sikap bersama dalam isu paling panas kini – tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.S Musliadi Sabtu, aktivis Umno cawangan Taman Widuri Indah duduk bersebelahan lawan politiknya Norazizi A Aziz di sebuah restoran dengan menganggap isu tersebut sebagai “konspirasi politik” – berbeza sama sekali dengan pendirian pemimpin atasan Umno.pemuda umno rembau PKRBersama lebih 10 penyokongnya, Musliadi mendakwa penyokong-penyokong partinya di peringkat akar umbi menolak tuduhan terhadap ketua umum PKR itu.

“Sebenarnya bukan saya seorang yang menolak isu ini tetapi ramai lagi yang tidak percaya dengan berita itu (laporan polis Anwar meliwat).

“Tetapi saya faham, mereka masih terikat dan rasa takut (serta) demi menjaga kelangsungan politik Umno.

“Saya hadir hari ini bukan untuk menyertai PKR mahupun menyokong Pakatan Rakyat. Tetapi ada banyak isu lain yang sepatutnya diberi keutamaan (oleh Umno),” katanya hari ini, mengulangi pendiriannya dalam sidang akhbar di Senawang minggu lalu.

Sidang media itu dihadiri wartawan-wartawan daripada tiga akhbar harian berpengaruh, satu daripadanya berbahasa Cina.

Musliadi memberitahu Malaysiakini, lebih kurang 60 peratus ahli Umno dalam cawangannya menyokong pandangannya tetapi tidak bersedia tampil menyuarakannya.

Menurutnya, cawangan itu mempunyai lebih 400 ahli, termasuk 100 orang dalam pergerakan Pemuda.

Katanya, beliau berani tampil kerana “memikirkan keadaan rakyat” dan “ingin membetulkan keadaan supaya kembali kepada al-Quran dan hadis.”

Sebelum berbuat demikian, beliau pada mulanya berasa ragu-ragu apabila penyelaras bahagian PKR itu menghubunginya minggu lepas untuk mengadakan sidang akhbar bersama.

Ditanya seerat mana hubungannya dengan Norazizi, Musliadi berkata beliau mengenalinya “gitu-gitu saja.”

Ditanya lagi bagaimana aktivis parti lawan mengetahui pendiriannya tentang isu Anwar itu, Musliadi berkata beliau “tidak tahu.”

anwar ibrahim and saiful bukhari azlanMusliadi, yang bekerja sebagai pembekal khidmat sistem siar raya, berkata beliau percaya tuduhan terhadap Anwar kini satu konspirasi seperti yang berlaku pada 1998.

“Pandangan saya masih sama dengan 1998 dulu. Waktu itu saya di Wangsa Maju (Kuala Lumpur). Tetapi pada masa itu kita pertahankan parti untuk mengelakkan perpecahan orang Melayu,” katanya, sambil menambah kepimpinan Umno mungkin terlibat dengan konspirasi tersebut.

Mengulas sebab beliau memilih mengadakan sidang akhbar bersama aktivis parti lawan, beliau berkata:

“Saya hadir bersama PKR (dalam sidang akhbar) untuk menunjukkan bahawa di peringkat bawahan boleh bersatu, kenapa di peringkat atas tidak boleh berlaku,” katanya.

Tambahnya, pemimpin Umno perlu mengambil keputusan segera untuk menangani perpecahan orang Melayu dan bukannya memikirkan “strategi menjatuhkan karier politik orang lain”.

“Saya bukan menentang dasar parti dan saya tetap dengan pendirian saya untuk berdiri teguh bersama kepimpinan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dan menteri besar Datuk Seri Mohammad Hassan, tetapi kepimpinan Umno harus serius menyatakan prinsip mereka demi melihat Umno kembali menjadi pilihan rakyat,” katanya.

Rembau sering menjadi fokus media apabila naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memenangi kerusi parlimen itu. Khairy juga adalah ketua Pemuda bahagian.