PM umum bersara Jun 2010

PM umum bersara Jun 2010
Muda Mohd Noor | Jul 10, 08 6:57pm 
Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.abdullah ahmad badawi pak lah 110907Beliau membuat pengumuman tersebut selepas pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno lebih dua jam mulai jam 3 petang tadi.

Perdana menteri berkata, keputusan tersebut diterima oleh MT dan pemimpin-pemimpin parti itu.

“Saya telah beri penjelasan mengenai perkara ini kepada MT dan ketua-ketua bahagian, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri sebentar tadi.

“Mereka boleh menerimanya dan memberi hormat berdiri kepada keputusan saya.

Abdullah berkata, beliau memilih Najib kerana beliau seorang yang baik dan boleh menjadi pemimpin yang baik.

“Peralihan kuasa bermula dengan apa yang umumkan hari ini. Dalam jangka masa itu, saya akan bertanding jawatan presiden parti dan saya telahpun nyatakannya kepada Datuk Najib (untuk bertanding presiden).

Hargai persahabatan

“Saya hargai persahabatan, persefahaman yang cukup tinggi dalam pelbagai isu yang sama-sama dihadapi dalam parti dan kerajaan.

“Dalam tempoh itu, kerja-kerja akan terus dilaksanakan bersama.

“Datuk Najib juga telah berucap kepada ketua-ketua bahagian dan pemimpin-pemimpin di majlis sesi taklimat khas hari ini,” katanya sambil menambah niat beliaumembuat peralihan adalah untuk mengukuhkan parti.

Buat sementara itu, katanya, mereka berdua akan terus kukuhkan parti supaya dapat balik sokongan rakyat seperti sebelum ini.

Abdullah juga berkata, beliau tidak akan lagi mengetuai parti dalam pilihanraya umum akan datang.

“Saya menghargai kedudukan Najib yang boleh menerima cadangan-cadangan saya. Apa yang diumumkan, dapat diterima dengan baik,” katanya.