AJK MCA diura-ura sertai PKR

 
Jul 17, 08 12:00pm
Ahli jawatankuasa pusat MCA Dr Tan Yee Kew meninggalkan MCA dan bakal mencetuskan kegemparan baru apabila bekas setiuasaha parlimen ini diura-urakan akan menyertai PKR.

Dalam sidang media mengumumkan keputusannya keluar parti hari ini, Dr Tan berkata “PKR satu pilihan yang baik” apabila diminta mengulas ura-ura itu.

Bagaimanapun beliau akan mengumumkan parti baru yang bakal disertainya tidak lama lagi.

“Bibit sistem dua parti telah ditunjukkan di negara ini pada 8 Mac… Saya yakin masanya telah tiba satu perubahan politik dalam negara kita,” katanya.

Mengulas usahanya menyokong sistem dua parti – antara BN dan Pakatan – yang sedang terbentuk selepas pilihanraya umum Mac lalu, beliau berkata:

“Sama ada sistem dua parti akan tenggelam akarnya di bumi Malaysia, sekaranglah ketikanya membuat keputusan.

“Sebagai seorang individu, kekuatan saya terhad. Bagaimanapun, jika dalam masa perubahan politik yang kritikal, saya boleh memberi sedikit bantuan, tidak kira bagaimana remehnya nanti, ia masih satu langkah yang bernilai diambil.”

Dr Tan, bekas timbalan ketua Wanita MCA, diura-urakan akan dilantik pengerusi Majlis Perbandaran Klang jika menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataan di sidang media di Klang, beliau menyatakan MCA gagal memperjuangkan nasib kaum Cina dan BN sendiri tidak mampu mengatasi pelbagai masalah rasuah, diskriminasi kaum, salah guna kuasa dan jurang kaya-miskin yang semakin meluas.

“MCA terpaksa berhempas-pulas untuk mempertahankan kepentingan kaum, tetapi kadangkala berakhir dengan menyerah dan kompromi,” kata Dr Tan.

Beliau juga melahirkan rasa kecewanya dengan persaingan puak dalam MCA dan desakan pembaharuan yang gagal dilaksanakan oleh barisan pemimpin parti.

“Dalam parti, amalan berpuak-puak telah menyebabkan pertelingkahan dalaman dan membiarkan amalan-amalan yang tidak baik seperti wujudnya ahli hantu.

“Pendedahan kebanyakan isu parti sejauh ini tidak diatasi secara adil dan saksama.

“Saya cuba memperjuangkan untuk pembaharuan tetapi kecewa melihat perjuangan parti yang bermula atas nama demokrasi dan reformasi, berakhir hanya dengan pertukaran kepimpinan dan peralihan kuasa, tetapi perubahan telah tidak dilaksanakan dengan jujurnya,” kata bekas setiausaha parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.