Updates from Julai, 2008 Toggle Comment Threads | Kekunci Pintas

  • amkksAdmin 8:04 PM on July 31, 2008 Pautan Kekal |  

     
    Jul 31, 08 3:18pm
     

    Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

    “Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan PKR dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh kepada  speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil secepat mungkin,” kata Wan Azizah.

    “Keputusan itu adalah yang terbaik buat Malaysia,” tambahnya.

    Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR dan pengerusi Yayasan Aman Malaysia.

    Anwar, yang turut sama dalam sidang media itu, berkata Pandikar Amin akan memberikan jawapan Isnin depan kerana sekarang berada di Sabah.

    Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.

    Beliau mendapatkan 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

    Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.

    Sebelum ini, disebut beberapa kerusi yang mungkin ditandingi oleh Anwar, termasuk Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

    bm version permatang pauh election results 310708Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai (Nurul Izzah) dan Gombak pula diwakili oleh naib presiden PKR, Azmin Ali.

    Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Azizah berkata sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.

    Katanya, sejak dari mula-mula bertanding dahulu lagi, beliau sedia mengosong kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

    Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS.

    Katanya, beliau merasakan “inilah yang terbaik bagi Anwar sebab kawasan tersebut (mempunyai) majoriti yang selesa”.

    Wan Azizah menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili oleh Anwar.

    Ditanya tindakan beliau meletakkan jawatan menyebabkan hilangnya seorang pemimpin wanita dalam Pakatan, Wan Azizah berkata:

    “(Pemimpin wanita) yang lain akan datang. (Kehilangan) ini hanyalah untuk jangka masa yang pendek. Saya rasa, saya boleh menyumbang (tenaga) dalam bentuk yang lain.”

    Wan Azizah positif terhadap kemampuan suaminya menghadapi pilihanraya kecil akan datang walaupun sedar segala kekuatan pihak lawan akan ditumpukan ke kawasan parlimen itu.

    “Saya mengalu-alukan segala pembangunan yang akan datang. Sudah dua penggal saya di sana, Tetapi kita mesti menghadapinya. Saya percaya rakyat di permatang Pauh lebih berminat pada Anwar. Anwar pernah (berkhidmat) di sana sebelum ini,” katanya.

    Reaksi Anwar

    Anwar mewakili kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai wakil BN dari tahun 1982 sehinggalah beliau dipecat dari Umno pada September 1998, dan menjadi ahli Parlimen bebas sehingga dihukum penjara enam tahun keranatuduhan salahguna kuasa.

    Sementara itu, Anwar pula berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Wan Azizah.

    “Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif,” katanya sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

    Anwar kata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.

    Katanya, pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh beliau bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

    Menurut, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu menghadiri sidang akhbar tersebut, iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai

    Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

    Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.

    “Sebelum ini saya berhasrat bertanding di Kulim-Bandar Baharu, tetapi setelah melihat kerenah pentadbiran dan undang-undang, petisyen yang sedang berlangsung, kami tidak jangka akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

    Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah melepaskan kerusi parlimennya, Anwar berkata, ia akan dimaklumkan minggu depan.

    Beliau berkara, perkata itu akan dibincangkan dengan dua lagi parti dalam Pakatan.

    Ditanya sama ada pilihan itu dibuat kerana Permatang Pauh merupakan kawasan yang paling selamat untuknya, secara berseloroh beliau berkata “semua kerusi agak selamat” untuknya.

    Diminta memberikan ulasan jika bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor bertanding atas tiket BN di kerusi parlimen itu, Anwar hanya menjawab: “Itu keputusan Umno.”

    Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.

    Beliau berkata, sasarannnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September depan seperti yang disebut-sebut beliau “masih seperti dijadualkan”.

    Mengulas kemungkinan beliau akan ditangkap pada masa terdekat, beliau berkata tidak mahu memberikan reaksi terhadap cakap-cakap.

    “Dari dulu lagi sebelum pilihanraya telah ada cakap-cakap bahawa beliau akan ditangkap,” kata Anwar.

     
  • amkksAdmin 2:15 AM on July 31, 2008 Pautan Kekal |  

    Abdul Rahim Sabri | Jul 30, 08 11:04am
    kemaskini 10:12pm

    Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membawa hujah ulama muktabar sewaktu memberikan kenyataannya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung aduan qazaf terhadapnya bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    Anwar membuat aduan terhadap pemuda itu – yang mendakwa diliwat olehnya bulan lepas – pada 9 Julai lalu agar jabatan agama itu menyiasat Mohd Saiful bawah kesalahan tuduhan palsu bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

    Selepas pertemuan selama dua jam setengah, Anwar berkata hujah itu dikumpulkan oleh ulama usul fekah tersohor Dr Taha Jabir al-Ulwani yang menyebutkan qazaf bagi tuduhan liwat terpakai seperti tuduhan zina.

    Mantan timbalan perdana menteri itu ditemani oleh isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman.

    Sementara itu, para wartawan telah berkumpul di rumah Anwar di Bukit Segambut sejak jam 5.30 pagi tadi susulan ura-ura yang mengatakan beliau mungkin akan ditahan dan didakwa atas tuduhan liwat.

    Bagaimanapun tiada apa yang berlaku dan Anwar tiba di pejabat JAWI pada jam 10.30 pagi.

    Dalam sidang media yang sama, mengulas desas-desus beliau ditahan sekali lagi dalam tempoh terdekat, Anwar berkata:

    “Saya tidak tahu hendak menjangkakannya. Tetapi menurut undang-undang, tatacara profesional, apabila sudah tidak ada asas dan alasan, kenapa patut polis menimbangkan untuk terus mendakwa (saya)?”

    Beliau seterusnya mengecam ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan menyifatkan siasatan polis dalam kesnya ini sebagai usaha “membalas dendam politik” terhadapnya sejak 1998.

    Penasihat PKR juga berkata beliau tidak risau dengan hasil pemeriksaan terhadap Mohd Saiful di hospital Kuala Lumpur (HKL) jika ia dijalankan secara profesional.

    “Tahun ini, kita ada sedikit ruang, sebab itu kita dapat laporan doktor. Bahkan laporan HKL, saya tidak bimbang sama sekali.

    “Soalnya apakah ada kemungkinan (laporan di HKL) selepas itu dikoyak dan dipinda,” katanya.

    Disoal sama ada beliau pernah melihat kandungan laporan HKL terhadap pemuda itu, Anwar berkata “tidak”.

    Ditanya sama ada Mohd Saiful telah dipanggil oleh JAWI untuk membantu siasatan kes qazaf, Anwar menjawab:

    “Saya tidak tahu. Tentunya dalam prosedur bahagian penguatkuasaan, mereka terpaksa panggil Saiful, tuan empunya kondo dan saksi lain yang terlibat dan juga polis.”

    Ditanya oleh wartawan adakah beliau mengemukakan fakta laporan perubatan Hospital Pusrawi kepada Jawi, beliau menjawab:

    “Saya telah menyebut (fakta laporan tersebut) dan mereka tentunya akan merujuk kepada doktor berkenaan untuk memberi keterangan,” katanya.

    Laporan pemeriksaan terhadap Mohd Saiful oleh seorang doktor di hospital swasta itu, empat jam sebelum diperiksa di hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun – hari laporan polis dibuat, didakwa tidak menunjukkan pemuda itu diliwat.

    Bagaimanapun Hospital Pusrawi petang ini menjelaskan pemeriksaan terhadap pemuda itu “tidak berkaitan kes liwat”.

     
c
Compose new post
j
Next post/Next comment
k
Previous post/Previous comment
r
Balas
e
Ubah
o
Show/Hide comments
t
Go to top
l
Go to login
h
Show/Hide help
shift + esc
Batal