Azizah kosongkan kerusi Ptg Pauh

 
Jul 31, 08 3:18pm
 

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

“Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan PKR dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh kepada  speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil secepat mungkin,” kata Wan Azizah.

“Keputusan itu adalah yang terbaik buat Malaysia,” tambahnya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR dan pengerusi Yayasan Aman Malaysia.

Anwar, yang turut sama dalam sidang media itu, berkata Pandikar Amin akan memberikan jawapan Isnin depan kerana sekarang berada di Sabah.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.

Beliau mendapatkan 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.

Sebelum ini, disebut beberapa kerusi yang mungkin ditandingi oleh Anwar, termasuk Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

bm version permatang pauh election results 310708Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai (Nurul Izzah) dan Gombak pula diwakili oleh naib presiden PKR, Azmin Ali.

Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Azizah berkata sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.

Katanya, sejak dari mula-mula bertanding dahulu lagi, beliau sedia mengosong kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS.

Katanya, beliau merasakan “inilah yang terbaik bagi Anwar sebab kawasan tersebut (mempunyai) majoriti yang selesa”.

Wan Azizah menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili oleh Anwar.

Ditanya tindakan beliau meletakkan jawatan menyebabkan hilangnya seorang pemimpin wanita dalam Pakatan, Wan Azizah berkata:

“(Pemimpin wanita) yang lain akan datang. (Kehilangan) ini hanyalah untuk jangka masa yang pendek. Saya rasa, saya boleh menyumbang (tenaga) dalam bentuk yang lain.”

Wan Azizah positif terhadap kemampuan suaminya menghadapi pilihanraya kecil akan datang walaupun sedar segala kekuatan pihak lawan akan ditumpukan ke kawasan parlimen itu.

“Saya mengalu-alukan segala pembangunan yang akan datang. Sudah dua penggal saya di sana, Tetapi kita mesti menghadapinya. Saya percaya rakyat di permatang Pauh lebih berminat pada Anwar. Anwar pernah (berkhidmat) di sana sebelum ini,” katanya.

Reaksi Anwar

Anwar mewakili kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai wakil BN dari tahun 1982 sehinggalah beliau dipecat dari Umno pada September 1998, dan menjadi ahli Parlimen bebas sehingga dihukum penjara enam tahun keranatuduhan salahguna kuasa.

Sementara itu, Anwar pula berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Wan Azizah.

“Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif,” katanya sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

Anwar kata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.

Katanya, pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh beliau bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Menurut, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu menghadiri sidang akhbar tersebut, iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai

Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.

“Sebelum ini saya berhasrat bertanding di Kulim-Bandar Baharu, tetapi setelah melihat kerenah pentadbiran dan undang-undang, petisyen yang sedang berlangsung, kami tidak jangka akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah melepaskan kerusi parlimennya, Anwar berkata, ia akan dimaklumkan minggu depan.

Beliau berkara, perkata itu akan dibincangkan dengan dua lagi parti dalam Pakatan.

Ditanya sama ada pilihan itu dibuat kerana Permatang Pauh merupakan kawasan yang paling selamat untuknya, secara berseloroh beliau berkata “semua kerusi agak selamat” untuknya.

Diminta memberikan ulasan jika bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor bertanding atas tiket BN di kerusi parlimen itu, Anwar hanya menjawab: “Itu keputusan Umno.”

Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.

Beliau berkata, sasarannnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September depan seperti yang disebut-sebut beliau “masih seperti dijadualkan”.

Mengulas kemungkinan beliau akan ditangkap pada masa terdekat, beliau berkata tidak mahu memberikan reaksi terhadap cakap-cakap.

“Dari dulu lagi sebelum pilihanraya telah ada cakap-cakap bahawa beliau akan ditangkap,” kata Anwar.