Harga Minyak Turun: Bukti BN Alami Sindrom “Anwarphobia”

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA MALAYSIA

23 Ogos 2008

 

Harga Minyak Turun: Bukti BN Alami Sindrom “Anwarphobia”
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat tindakan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menurunkan harga minyak semalam adalah satu usaha terdesak bagi meraih semula populariti di kalangan rakyat.

Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada 2.55 sen seliter,manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter berkuatkuasa hari ini. Harga diesel pula diturunkan 8 sen, daripada RM2.58 kepada RM2.50 seliter.

AMK berpendapat ini adalah tindakan terdesak Abdullah setelah beliau menafikan sekeras-kerasnya sebelum ini bahawa beliau tidak akan menurunkan harga minyak sebelum 1 September 2008. Apakah sikap berbohong sudah menjadi taktik Abdullah di dalam menyusun strategi pemerintahan Malaysia?

AMK tidak menafikan sebarang usaha untuk menurunkan harga minyak adalah baik, tetapi apakah cukup sekadar penurunan 15 sen bagi petrol dan 8 sen bagi diesel, sedangkan rakyat sudah semakin menderita dengan kekangan kos sara hidup yang semakin menggila dari hari ke hari. Penurunan pada kadar 6 peratus tidak memberi apa-apa signifikan langsung di sebalik penurunan harga mendadak harga minyak dunia yang kini dianggarkan pada kadar USD115 per tong.

Penurunan ini langsung tidak membawa apa-apa kesan, di sebalik kadar inflasi sebanyak 8.5 peratus yang dilaporkan paling parah dalam tempoh 25 tahun telah dicatatkan melalui perangkaan Kenanga Investment Bank dan Bank Negara.

AMK melihat, tindakan ini tidak lebih untuk tujuan mengaburi mata rakyat di sebalik tekad dan komitmen Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjanjikan penurunan 70 sen harga minyak sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah.

‘Lakonan’ Umno-BN boleh diteruskan, tetapi rakyat tidak bodoh untuk terus dipermainkan di sebalik tekanan ekonomi yang sangat parah.

Biar apapun usaha Umno-BN kini, rakyat perlu dimerdekakan ekonomi mereka dengan kepimpinan baru yang lebih progresif di bawah Pakatan Rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia