Updates from Oktober, 2008 Toggle Comment Threads | Kekunci Pintas

  • amkksAdmin 11:20 PM on October 26, 2008 Pautan Kekal |  

     
     
    Timbalan perdana menteri kini berdepan dakwaan berhubung perolehan peralatan pertahanan baru selepas isu kontrak pembelian kapal selam Scorpene dan pesawat pejuang Sukhoi yang menjadi isu politik besar tahun lepas.Datuk Seri Najib Razak, sewaktu menjadi menteri pertahanan, didakwa mengendalikan usaha mendapatkan helikopter Cougar EC 275 (lihat jadual) yang dibekalkan oleh syarikat Eurocopter dalam “keadaan meragukan”.

    Dalam suratnya kepada Najib, sebuah syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian itu yang didakwanya “tanpa menemui wakil penjualnya dan (tanpa) melakukan ujian penerbangan.”

    “Lazimnya, seseorang yang ingin membeli kereta berharga satu juta ringgit pun akan bertanya berbagai soalan kepada jurujual dan membuat pemanduan uji dua atau tiga jenama kereta sebelum memilih kereta yang paling sesuai,” kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

    bm version malaysia military helicopter contract 141008Menurutnya lagi dalam surat 7 Oktober, proses mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter “agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini.”

    “Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter,” kata Zahar lagi, yang juga ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan.

    “LOI tersebut ditandatangani oleh seorang pegawai paras menengah di Kementerian Pertahanan dan bertarikh 15 September iaitu dua hari sebelum Datuk Seri (Najib) berpindah dari Kementerian Pertahanan ke Kementerian Kewangan.”

    Dihubungi Malaysiakini hari ini, Zahar berkata tindakannya itu “tidak bermotifkan politik.”

    Dalam surat tersebut, Najib juga didakwa “menyampaikan laporan yang kurang tepat kepada Yang Amat Berhormat (perdana menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.”

    Selain Mentari Services yang bertindak bagi pihak satu daripada empat penender Kelowna Flightcraft Ltd, kontrak pembekalan helikopter itu turut disertai Sikorsky dan Agusta Westland, selain Eurocopter.

    Menurut Zahar dalam surat keduanya kepada Najib pada 9 Oktober lalu, Kelowna menawarkan 12 model Kazan MI-172 KF dengan harga  RM898 juta, Sikorsky (RM1.45 bilion) dan Eurocopter (RM2.32 bilion).

    Pembelian helikopter baru ini bertujuan menggantikan perkhidmatan Nuri, yang dibekalkan oleh Sikorsky, yang sering mengalami kemalangan.

    Saranan menggantikan Nuri bermula selepas kemalangan di Genting Sempah, dekat Genting Highlands, pada Julai tahun lalu.

    Dalam pilihanraya kecil Ijok, Selangor tahun lepas, isu pembelian Scorpene dan Sukhoi SU30MKM menjadi begitu hangat sehingga memaksa kementerian mengeluarkan kenyataan menjelaskannya.

    Kementerian berkata semua perolehan peralatan berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak membazir.

    Ia juga menafikan dakwaan kerajaan membayar komisen RM540 juta kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda, seorang kenalan Najib yang kini menghadapi tuduhan bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia.

    Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Najib berkata perkara itu akan dijelaskan secara terperinci di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

     
  • amkksAdmin 12:21 PM on October 22, 2008 Pautan Kekal |  

     
    Saidah Hairan | Foto Wan Zahari Wan Salleh
    Wed | Oct 22, 08 | 10:40:12 am MYT
    SHAH ALAM, 22 Okt (Hrkh)-Ketelusan Speaker, Teng Chang Khim yang membenarkan Adun Sungai Panjang, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo berucap selama lebih satu jam membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat amat menghormati amalan demokrasi.

    Selepas Khir mengakhiri perbahasan, Teng meluahkan; “Lebih satu jam Sungai Panjang berucap, saya rasa cemburu, tiga belas tahun saya jadi Ketua Pembangkang, tiga puluh minit saja yang diberi, satu minit lebih pun tidak boleh. Tapi Speaker baru bagi peluang sepenuhnya satu jam cukup.”

    Kerajaan Pakatan Rakyat juga membenarkan soalan-soalan daripada pihak pembangkang diajukan dalam sesi soal jawab lisan selama satu jam bermula 10 pagi hingga 11 pagi. Image

    Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dalam perbahasannya turut meluahkan rasa kecewa ketika menjadi Adun di bawah kerajaan BN hanya sekali saja soalan lisan diletakkan di hadapan.

    Itu pun katanya, ketika Ketua Pembangkang Sungai Pinang (Teng Chang Khim) tiada dalam dewan.

    Sidang kali ke-3 mesyuarat ke-12 ini yang dijangkakan selama lima hari menampakkan ketegasan Chang Khim menjalankan tugas sebagai seorang Speaker.

    Ini berikutan teguran terhadap Yang Berhormat supaya mematuhi peraturan mesyuarat bukan hanya ditujukan kepada YB pembangkang tetapi Adun kerajaan Pakatan Rakyat turut diberi amaran.

    Amaran itu diberikan ekoran tindakan Lau Weng San yang bangun mahu meminta penjelasan tetapi sebaliknya memberi penjelasan penuduhan. Image

    Dengan tegas Chang Khim mengingatkan Kampung Tunku, apabila minta permohonan untuk mencelah tanya minta penjelasan bukan memberi penjelasan.

    “Kalau tidak akur saya tidak memberi peluang langsung. Saya beri peringatan saya tidak akan memberi peringatan lagi. Kalau mana-mana ahli yang mencelah kerana hendak memberi ucapan sendiri, saya akan minta dia berhenti dengan segera,” tegas Chang Khim

    Tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Ketua Pembangkang dibenarkan membahaskan ucapan Bajet lebih daripada satu jam tanpa gangguan besar daripada Adun kerajaan. Image

     
  • amkksAdmin 6:04 PM on October 17, 2008 Pautan Kekal |  

    Al-Fatihah..

    Sdr. Basir bin Chu, Naib Ketua 1 PKR Bahagian Kuala Selangor, telah kembali ke rahmatullah pada 17 Oktober 2008 jam 6.30 pagi akibat penyakit “Leukimia”. Jenazahnya telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batang Berjuntai selepas solat Jumaat.

    Antara yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham ialah Dato’ Menteri Besar Selangor yang juga selaku Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor disamping teman-teman seperjuangan. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.Amin.

    Bagi pihak AMK Kuala Selangor, kami mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan semoga tabah menghadapi ujian dan dugaan dariNYA.

     
  • amkksAdmin 10:16 AM on October 14, 2008 Pautan Kekal |  

    MEMBINA KEAGUNGAN UMMAH SEJAGAT

    Oleh : Mohd Ezli Mashut
    LL. B (Hons)
    Blog : http://www.ezli007.blogspot.com / email : ezli007@hotmail.com

    Rasulullah S.A.W bersabda: Setiap orang daripada kamu adalah ketua dan kamu bertanggungjawab terhadap amanah kamu.

    Semasa perlantikan Abu Bakr As-Siddiq R.A sebagai Khalifah pertama, beliau menyatakan dasar kepimpinannya dalam khutbah seperti berikut :

    “ Wahai manusia, sekarang aku telah memegang pekerjaan kamu ini, tetapi bukanlah aku orang yang lebih baik daripada kamu. Jika aku berlaku adil dalam urusanku, sokonglah aku. Tetapi jika aku bersalah, betulkanlah aku kembali. Kejujuran adalah satu amanat, kedustaan adalah suatu khianat. Orang yang kuat di antara kamu, pada sisiku adalah lemah sehingga hak si lemah aku tarik daripadanya. Orang yang lemah di antara kamu pada sisiku adalah kuat,sebab aku ambil daripada si kuat haknya itu. Insya Allah janganlah kamu menghentikan jihad, kamu tidak akan ditimpa kehinaan. Taatlah kepada aku selama aku taat kepada Allah dan RasulNya. Tetapi kalau aku melanggar perintahNya, janganlah mengikuti aku lagi. Berdirilah untuk solat, semoga Allah merahmati kamu.”
    Pemimpin Memimpin. Pengikut Mengikut. Adakah begitu ?

    Kadang-kadang sesetengah pemimpin mengikut pengikut. Mereka meninggalkan fungsi kepimpinan apabila tindakan mereka yang menjadi gambaran kehendak dan amalan pengikut. Mereka tidak lagi menentukan arah yang akan diikuti dan pengikut membuat penilaian secara salah menerima tindakan pemimpin sebagai keputusan ramai. Akhirnya pengikut akan menyedari bahawa mereka boleh bekerja tanpa pemimpin.

    Islam menjanjikan pahala dan dosa kepada pemimpin berdasarkan tindakan mereka terhadap pengikutnya.
    Ciri Pemimpin Ikut Acuan Islam

    Rasullullah bersabda yang bermaksud : Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang di bawah pimpinan kamu. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya, seseorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan kadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya- (Hadith Riwayat Bukhari)

    Hadis ini menjelaskan kedudukan pemimpin dalam Islam dan beratnya tanggungjawab yang dipikul setiap Muslim kerana setiap tanggungjawab dan amanah akan disoal dan dintanya Allah pada persidangan Mahsyar di akhirat kelak.

    Ia juga mengingatkan manusia agar berhati-hati dan waspada ketika mengangkat seseorang sebagai pemimpin kerana sesiapa yang diangkat sebagai pemimpin dalam masyarakat atau bangsa, maka dia adalah cermin atau biasan masyarakat dan bangsanya.

    Mutu pemimpin bergantung dan berkait rapat dengan mutu masyarakatnya. Dengan demikian, kita wajar memerhatikan kebolehan,keilmuan,pengalaman dan keperibadian bakal pemimpin supaya tidak terbawa ke arah kehancuran dan kecelakaan.

    Dalam hal ini, Allah berfirman dalam ayat 71, Surah Al-Isra’ “ Ingatlah hari kami menyeru setiap kumpulan manusia (umatnya) dengan pemimpinnya. Umat Islam perlu mengambil berat soal memilih pemimpin mereka. Jangan tersalah pilih  pemimpin. Kemungkinan besar persepsi yang terpahat di minda bahawa kepimpinan adalah hal keduniaan semata-mata dan tidak mempunyai hubungan dengan urusan ukhrawi.

    Islam yang dibawa Rasullullah SAW lengkap dan menyeluruh dalam aspek kehidupan termasuk soal kepimpinan , malah hampir seluruh ayat Al-Quran mendahului ungkapan kepimpinan dengan memberi seruan kepada orang beriman.  Justeru, jelaslah Islam sudah mencorakkan kepimpinan sempurna yang sepatutnya diikuti dan diteladani dalam realiti kehidupan seharian.

    Allah berfirman dalam surah Ibrahim , ayat 24 – 25 . “ Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokok yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah pada setiap masa dengan izin Allah. Dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat dan mendapat pengajaran.

    Ciri-ciri pemimpin menurut acuan Islam yang mampu mencipta keunggulan Ummah seperti berikut :

    Mesti memiliki pembawaan dan keperibadian berteraskan Islam iaitu seseorang mesti beriman kepada Allah dan bertakwa dalam segala tindak-tanduknya. Inilah maksudnya pohon yang baik.

    Berkemampuan berdepan dengan segala bentuk perubahan dan tentangan yang bakal menguji kewibawaan dan keupayaan dalam menangani sesuatu isu dan kes serta mampu mengatasi sebaik mungkin. Inilah ertinya dahan yang menjulang tinggi ke langit.

    Mampu mempersembahkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang bawahannya dengan misi yang dirancangnya, Ini pula daripada erti buah yang segar.

    Pemimpin berkenaan mesti sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa patuh dan tunduk kepada segala tuntutan Islam dan tidak pernah menyeleweng daripada landasan Islam yang lurus, malah dia sentiasa memohon petunjuk Ilahi dan hidayahNya supaya sentiasa berada di bawah InayahNya.
    Faktor Utama Kejayaan Pemimpin Secara Umum

    Iman Dan Taqwa.

    Dalam membina keperibadian pemimpin yang unggul, faktor taqwa merupakan asas dan terpenting. Melalui ketinggian iman yang tinggi dan mantap maka sandaran kepimpinannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah dan bukan keredhaan manusia yang bersifat sementara. Segala tindak-tanduk dan strategi kepimpinan adalah untuk memimpin ummah ke arah kebaikan, kemakmuran dan mendekatkan kepada Allah. Atas keimanan dan ketaqwaan yang tinggi ini maka barakah kepimpinannya akan terserlah dan sinar nurnya akan terpancar ke atas pimpinannya dan seluruh makhluk.

    Hanya pemimpin yang takutkan Allah dan kebesaranNya maka corak kepimpinannya akan mengamalkan prinsip-prinsip keadilan sejagat, beramanah dan menolak segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Malahan rasuah yang menjadi anai-anai dalam masyarakat akan dibanteras sehingga ke akar umbinya. Pemimpin yang mengenali dan menghayati keagungan Allah sahaja yang dapat memandu pimpinannya ke jalan untuk mendapat keredhaan Allah.

    Bukan senang untuk mencapai tahap pemimpin yang bertaqwa. Namun ia adalah prasyarat untuk membina tamadun manusia yang terbangun jiwa dan akhlaknya. Kualiti ini merupakan faktor yang menyebabkan turunnya bantuan Allah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Pemimpin besar dan ulung ialah personaliti yang mampu membawa perubahan ke arah kebaikan. Malahan pemimpin ini akan melaksanakan amanah besar ini dengan sebaik mungkin kerana ia akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak.

    Model terbaik pimpinan untuk diikuti ialah Junjungan Besar Rasullullah S.A.W. Kita menyaksikan lembaran sejarah membuktikan bahawa Rasullullah membina keperibadian unggul para sahabat. Kesannya kuasa besar Parsi dan Rom pada ketika itu akhirnya tunduk kepada kehebatan keperibadian pemimpin-pemimpin Islam. Mereka mencari keredhaan Allah bukan mencari dunia semata-mata. Oleh sebab itu apabila Rom berjaya di dalam genggaman kuasa Islam pemimpin-pemimpin Islam tidak tersilau dengan kemegahan dan kekayaan yang tertinggal dan wanita-wanita Rom yang cantik menawan.Begitulah hebatnya kepempinan besar Islam yang dilahirkan oleh Rasullullah S.A.W.

    Mari kita hayati model kepimpinan Saidina Umar Al-Khatab semasa menjadi khalifah Islam kedua. Kisah bagaimana Saidina Umar yang turun ke padang melihat rakyatnya pada waktu malam ketika rakyatnya tidur. Kisah bagaimana Khalifah Umar yang menyantuni nasib seorang wanita tua yang sedang memasak sesuatu untuk anak-anak wanita tua itu yang sedang kelaparan. Kerana prihatinnya maka Khalifah Umar R.A sendiri pergi ke Baitulmal dan membawa sendiri keperluan wanita itu sendiri tanpa mengharapkan bantuan pekerjanya. Dan di akhir kisah itu wanita itu berkata “ Mudah-mudahan Allah S.W.T akan membalas budi baik Tuan, Sungguh Tuan yang sepatutnya menjadi Amirul Mukminin,bukannya Umar Al-Khatab. Saidina Umar mendengar percakapaan itu dengan perasaan gembira.

    Apakah masih ada lagi pemimpin yang berjiwa sebenar rakyat seperti Umar yang kepimpinannya bukan untuk mencari populariti diri sendiri dan mengumpul kekayaan ?. Mereka mencari kekayaan taqwa dan keredhaan Allah. Inilah yang menyebabkan Allah turunkan barakah kepimpinan sehinggakan pada waktu itu serigala dan kambing dapat menjadi haiwan yang berkawan rapat, Subhanallah. Renungilah agar kita mampu untuk menghayati model kepimpinan agung ini.

     
  • amkksAdmin 12:48 PM on October 13, 2008 Pautan Kekal |  

     
  • amkksAdmin 12:22 PM on October 13, 2008 Pautan Kekal |  

    IDEA-IDEA UNTUK SURVIVAL SEMASA BERHADAPAN DENGAN SITUASI KENAIKAN HARGA MINYAK.

    Di sediakan oleh :
    Mohd Ezli Bin Mashut
    017-6543974  /’ ezli007.blogspot.com / ezli007@hotmail.com

    ‘SEBENARNYA SUMBER MINYAK YANG ADA DI BUMI MENCUKUPI UNTUK KEGUNAAN PENDUDUK BUMI SEHINGGA BUMI INI KIAMAT…’

    1  : Pertingkatkan dan pelbagaikan sumber pendapatan kita dan keluarga.

     Kita tiada pilihan lain dalam menghadapi situasi ini. Hadapi realiti dan kenyataan bahawa kenaikan ini bukan setakat akan berhenti pada harga ini. Malahan kenaikan pada masa hadapan adalah suatu yang pasti. Tambah dan cari sumber pendapatan tambahan yang mampu mengurangkan tekanan hidup anda dan keluarga anda. 

    2.   : Berkongsi kenderaan bagi yang sama destinasi.

     Jika anda bekerja di satu kawasan. Berkongsi dan bergilir membawa kenderaan mungkin strategi yang berkesan untuk mengurangkan penggunaan minyak dan kesesakan jalan raya.

    3.  :  Anggaplah bahawa kenaikan itu kita memberi sedekah. Pasti kita akan mendapat pahala dan dengan minyak yang ada itu mungkin lebih kilometer akan diperolehi. Yakin kepada Allah bahawa dengan sedekah kita akan lebih banyak mendapat rezeki pada jalan yang tidak disangka-sangka.

    4.  : Rancang perjalanan anda dengan baik. Pastikan kita membawa kenderaan pada kadar yang sederhana yang akan lebih menjimatkan minyak. Elakkan daripada kesesakan jalan raya jika mampu.

    5  :  Pada waktu pagi atau waktu cuaca yang tidak panas gunakanlah udara luar yang akan mengurangkan penggunaan pendingin hawa dan menjimatkan minyak. Anda mampu menjimatkan penggunaan minyak sehingga 10 %.

    6. : Mulakan perjalanan dengan berdoa dan sentiasa perbanyakkan zikir, istiqfar kepada Allah. Semoga kita sentiasa mendapat ketenangan dalam hidup dan dimudahkan urusan hidup.

    7. : Kepada para saintis perbanyakkan kajian untuk mencari sumber tenaga baru yang lebih murah dan percuma yang ada di alam ini.

    8. : Sentiasa memastikan tayar kenderaan anda berada dalam keadaan memenuhi spesifikasi tekanan angin yang betul. Tayar yang kurang tekanan angin akan melebihkan penggunaan minyak. Anda di sini dapat mempertingkatkan penggunaan sehingga 10 % .

    9. Kurangkan bebanan kenderaan anda dengan mengeluarkan barang yang tidak diperlukan daripada bonet atau kenderaan anda. Berat bebanan kenderaan anda hanya akan menyebabkan kenderaan anda memerlukan tambahan minyak. Justeru anda boleh menjimatkan minyak dengan membuang barang yang tidak digunakan daripada kenderaan anda.

    10. Pastikan kelajuan anda pada 90 km/j. Kelajuan pada 110km/j bermakna penggunaan sebanyak 10% minyak yang lebih. Kawal kelajuan kenderaan anda dengan bijak. Memecut kenderaan pada kadar sekata dan hindari perbuatan memecut dan menghentikan kenderaan secara mendadak.

    11. Tidak perlu memanaskan enjin kenderaan anda dengan lama. Ia hanya menyebabkan penggunaan lebih minyak kepada kenderaan anda. Tidak perlu anda menekan-nekan pedal minyak bagi menguji enijin kereta anda kerana ia hanya menambahkan lagi penggunaan minyak.

    12. Apabila anda parking kenderaan anda. Untuk lebih penjimatan carilah tempat yang tidak terdedah kepada cuaca panas kerana akan menyebabkan berlaku sedikit kesusutan kepada paras minyak di tangki anda. Malahan ketika untuk menggunakan kenderaan anda semula. Pendingin hawa terpaksa digunakan lebih untuk menyejukkan dalaman kenderaan anda. Maka ini akan membawa kepada lebih penggunaan minyak.

    13. Gunakan alat-alat yang boleh menjimatkan minyak. Untuk jangka panjang ia akan memberikan penjimatan yang berterusan kepada anda.

    14. Matikan enjin kenderaan jika anda menunggu seseorang. Ia hanya menambahkan lagi penggunaan minyak anda.

    15. Gunakan penghawa dingin dengan bijak mampu menjimatkan penggunaan minyak sehingga 10 – 14 % . Di kawasan kampung atau ketika udara nyaman gunakanlah udara luar yang lebih akan menjimatkan minyak kenderaan anda.

    16. Servis kenderaan anda mengikut jadual kerana ia akan memastikan penggunaan minyak pada kadar yang efisien.

    17. Gunakan perkhidmatan awam mampu mengurangkan kos bebanan kenaikan harga minyak.

    18. Gunakan kenderaan yang kurang menggunakan minyak seperti motorsikal untuk ke destinasi yang dekat seperti ke pasar , kedai atau lain-lain yang anda boleh menggunakan motorsikal atau juga basikal. Malahan kini sudah ada basikal yang digerakkan dengan kuasa elektrik.

    19. Merancang sistem bekerja anda yang memerlukan perjalanan yang jauh dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti telefon bimbit,internet.video conferancing  dan lain-lain alat gadget semasa.

    20. Sistem bekerja dari rumah mungkin boleh dimulakan. Pekerjaan yang boleh dilaksanakan daripada rumah boleh dipraktikkan. Ini akan mengurangkan penggunaan minyak secara keseluruhannya.

    21. Jika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya yang teruk . Anda boleh mematikan enjin seketika. Ini mampu mengurangkan bebanan petrol pada waktu kesesakan jalan raya.

    22. Sentiasa berdoa, perbanyakkan solat taubat dan hajat semoga kita diberi kekuatan oleh Allah untuk berhadapan dengan situasi sukar ini. Percayalah bahawa manusia mempunyai potensi dan mampu berhadapan dengan pelbagai situasi sukar ini dengan penuh kesabaran dan tawakkal kepada Allah.

    23. Kurangkan penggunaan kenderaan anda pada tujuan-tujuan yang tidak perlu. Anda tiada pilihan lain selain terus menguruskan perjalanan anda dengan bijak dan sejahtera.

    24. Tidak perlu ke kedai dan pasar setiap hari . Tetapi mungkin beberapa barangan boleh disimpan untuk kegunaan stok sebulan atau seminggu anda.

    25. Parti-parti politik , NGOs dan pertubuhan-pertubuhan perlu menggerakkan ahli-ahli mereka dengan mengumpulkan pakar-pakar untuk memikirkan cabaran ini. Perlu diingat ini adalah krisis global. Justeru tenaga perlu digerakkan untuk menghadapi cabaran ini daripada kita hanya menumpukan kepada masalah pergolakan politik dan fahaman sahaja.

    26. Adakan pertandingan mana-mana di antara bahagian-bahagian atau cawangan-cawangan dalam organisasi politik dan NGOs atau antara Universiti-universiti untuk mencipta dan mencari  teknologi-teknologi  baru bagi menggantikan penggunaan minyak. Pihak kerajaan wajar memberi hadiah kepada mana-mana pihak yang berjaya menemui teknik-teknik terbaru mengerakkan kenderaan dengan sumber tenaga baru.

    27. Gerakkan kempen di peringkat nasional dan antarabangsa untuk menggunakan kembali dinar emas dan perak dalam sistem kewangan dunia. Ini cara terbaik untuk dunia mengatasi masalah inflasi yang semakin meruncing di dunia.

    28. Mendesak syarikat-syarikat pengeluar minyak dunia  untuk mengagihkan keuntungan besar mereka kepada masyarakat dunia untuk mengurangkan tekanan kenaikan mendadak semua barangan.

    29. Kempen ‘HARI TANPA MINYAK’ oleh kenderaan persendirian boleh dilaksanakan secara besar-besaran boleh dijalankan serentak di peringkat nasional dan global untuk mengurangkan penggunaan minyak dunia.

     

    Jika ANDA mempunyai idea-idea dan tips-tips untuk menjimatkan minyak, perbelanjaan dan kos sara hidup sila emailkan idea dan tips anda ke :
    ezli007@hotmail.com

     
c
Compose new post
j
Next post/Next comment
k
Previous post/Previous comment
r
Balas
e
Ubah
o
Show/Hide comments
t
Go to top
l
Go to login
h
Show/Hide help
shift + esc
Batal