Membina Keagungan Ummah Sejagat

MEMBINA KEAGUNGAN UMMAH SEJAGAT

Oleh : Mohd Ezli Mashut
LL. B (Hons)
Blog : http://www.ezli007.blogspot.com / email : ezli007@hotmail.com

Rasulullah S.A.W bersabda: Setiap orang daripada kamu adalah ketua dan kamu bertanggungjawab terhadap amanah kamu.

Semasa perlantikan Abu Bakr As-Siddiq R.A sebagai Khalifah pertama, beliau menyatakan dasar kepimpinannya dalam khutbah seperti berikut :

“ Wahai manusia, sekarang aku telah memegang pekerjaan kamu ini, tetapi bukanlah aku orang yang lebih baik daripada kamu. Jika aku berlaku adil dalam urusanku, sokonglah aku. Tetapi jika aku bersalah, betulkanlah aku kembali. Kejujuran adalah satu amanat, kedustaan adalah suatu khianat. Orang yang kuat di antara kamu, pada sisiku adalah lemah sehingga hak si lemah aku tarik daripadanya. Orang yang lemah di antara kamu pada sisiku adalah kuat,sebab aku ambil daripada si kuat haknya itu. Insya Allah janganlah kamu menghentikan jihad, kamu tidak akan ditimpa kehinaan. Taatlah kepada aku selama aku taat kepada Allah dan RasulNya. Tetapi kalau aku melanggar perintahNya, janganlah mengikuti aku lagi. Berdirilah untuk solat, semoga Allah merahmati kamu.”
Pemimpin Memimpin. Pengikut Mengikut. Adakah begitu ?

Kadang-kadang sesetengah pemimpin mengikut pengikut. Mereka meninggalkan fungsi kepimpinan apabila tindakan mereka yang menjadi gambaran kehendak dan amalan pengikut. Mereka tidak lagi menentukan arah yang akan diikuti dan pengikut membuat penilaian secara salah menerima tindakan pemimpin sebagai keputusan ramai. Akhirnya pengikut akan menyedari bahawa mereka boleh bekerja tanpa pemimpin.

Islam menjanjikan pahala dan dosa kepada pemimpin berdasarkan tindakan mereka terhadap pengikutnya.
Ciri Pemimpin Ikut Acuan Islam

Rasullullah bersabda yang bermaksud : Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang di bawah pimpinan kamu. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya, seseorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan kadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya- (Hadith Riwayat Bukhari)

Hadis ini menjelaskan kedudukan pemimpin dalam Islam dan beratnya tanggungjawab yang dipikul setiap Muslim kerana setiap tanggungjawab dan amanah akan disoal dan dintanya Allah pada persidangan Mahsyar di akhirat kelak.

Ia juga mengingatkan manusia agar berhati-hati dan waspada ketika mengangkat seseorang sebagai pemimpin kerana sesiapa yang diangkat sebagai pemimpin dalam masyarakat atau bangsa, maka dia adalah cermin atau biasan masyarakat dan bangsanya.

Mutu pemimpin bergantung dan berkait rapat dengan mutu masyarakatnya. Dengan demikian, kita wajar memerhatikan kebolehan,keilmuan,pengalaman dan keperibadian bakal pemimpin supaya tidak terbawa ke arah kehancuran dan kecelakaan.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam ayat 71, Surah Al-Isra’ “ Ingatlah hari kami menyeru setiap kumpulan manusia (umatnya) dengan pemimpinnya. Umat Islam perlu mengambil berat soal memilih pemimpin mereka. Jangan tersalah pilih  pemimpin. Kemungkinan besar persepsi yang terpahat di minda bahawa kepimpinan adalah hal keduniaan semata-mata dan tidak mempunyai hubungan dengan urusan ukhrawi.

Islam yang dibawa Rasullullah SAW lengkap dan menyeluruh dalam aspek kehidupan termasuk soal kepimpinan , malah hampir seluruh ayat Al-Quran mendahului ungkapan kepimpinan dengan memberi seruan kepada orang beriman.  Justeru, jelaslah Islam sudah mencorakkan kepimpinan sempurna yang sepatutnya diikuti dan diteladani dalam realiti kehidupan seharian.

Allah berfirman dalam surah Ibrahim , ayat 24 – 25 . “ Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pokok yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah pada setiap masa dengan izin Allah. Dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat dan mendapat pengajaran.

Ciri-ciri pemimpin menurut acuan Islam yang mampu mencipta keunggulan Ummah seperti berikut :

Mesti memiliki pembawaan dan keperibadian berteraskan Islam iaitu seseorang mesti beriman kepada Allah dan bertakwa dalam segala tindak-tanduknya. Inilah maksudnya pohon yang baik.

Berkemampuan berdepan dengan segala bentuk perubahan dan tentangan yang bakal menguji kewibawaan dan keupayaan dalam menangani sesuatu isu dan kes serta mampu mengatasi sebaik mungkin. Inilah ertinya dahan yang menjulang tinggi ke langit.

Mampu mempersembahkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang bawahannya dengan misi yang dirancangnya, Ini pula daripada erti buah yang segar.

Pemimpin berkenaan mesti sentiasa ingat kepada Allah, sentiasa patuh dan tunduk kepada segala tuntutan Islam dan tidak pernah menyeleweng daripada landasan Islam yang lurus, malah dia sentiasa memohon petunjuk Ilahi dan hidayahNya supaya sentiasa berada di bawah InayahNya.
Faktor Utama Kejayaan Pemimpin Secara Umum

Iman Dan Taqwa.

Dalam membina keperibadian pemimpin yang unggul, faktor taqwa merupakan asas dan terpenting. Melalui ketinggian iman yang tinggi dan mantap maka sandaran kepimpinannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah dan bukan keredhaan manusia yang bersifat sementara. Segala tindak-tanduk dan strategi kepimpinan adalah untuk memimpin ummah ke arah kebaikan, kemakmuran dan mendekatkan kepada Allah. Atas keimanan dan ketaqwaan yang tinggi ini maka barakah kepimpinannya akan terserlah dan sinar nurnya akan terpancar ke atas pimpinannya dan seluruh makhluk.

Hanya pemimpin yang takutkan Allah dan kebesaranNya maka corak kepimpinannya akan mengamalkan prinsip-prinsip keadilan sejagat, beramanah dan menolak segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Malahan rasuah yang menjadi anai-anai dalam masyarakat akan dibanteras sehingga ke akar umbinya. Pemimpin yang mengenali dan menghayati keagungan Allah sahaja yang dapat memandu pimpinannya ke jalan untuk mendapat keredhaan Allah.

Bukan senang untuk mencapai tahap pemimpin yang bertaqwa. Namun ia adalah prasyarat untuk membina tamadun manusia yang terbangun jiwa dan akhlaknya. Kualiti ini merupakan faktor yang menyebabkan turunnya bantuan Allah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Pemimpin besar dan ulung ialah personaliti yang mampu membawa perubahan ke arah kebaikan. Malahan pemimpin ini akan melaksanakan amanah besar ini dengan sebaik mungkin kerana ia akan dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak.

Model terbaik pimpinan untuk diikuti ialah Junjungan Besar Rasullullah S.A.W. Kita menyaksikan lembaran sejarah membuktikan bahawa Rasullullah membina keperibadian unggul para sahabat. Kesannya kuasa besar Parsi dan Rom pada ketika itu akhirnya tunduk kepada kehebatan keperibadian pemimpin-pemimpin Islam. Mereka mencari keredhaan Allah bukan mencari dunia semata-mata. Oleh sebab itu apabila Rom berjaya di dalam genggaman kuasa Islam pemimpin-pemimpin Islam tidak tersilau dengan kemegahan dan kekayaan yang tertinggal dan wanita-wanita Rom yang cantik menawan.Begitulah hebatnya kepempinan besar Islam yang dilahirkan oleh Rasullullah S.A.W.

Mari kita hayati model kepimpinan Saidina Umar Al-Khatab semasa menjadi khalifah Islam kedua. Kisah bagaimana Saidina Umar yang turun ke padang melihat rakyatnya pada waktu malam ketika rakyatnya tidur. Kisah bagaimana Khalifah Umar yang menyantuni nasib seorang wanita tua yang sedang memasak sesuatu untuk anak-anak wanita tua itu yang sedang kelaparan. Kerana prihatinnya maka Khalifah Umar R.A sendiri pergi ke Baitulmal dan membawa sendiri keperluan wanita itu sendiri tanpa mengharapkan bantuan pekerjanya. Dan di akhir kisah itu wanita itu berkata “ Mudah-mudahan Allah S.W.T akan membalas budi baik Tuan, Sungguh Tuan yang sepatutnya menjadi Amirul Mukminin,bukannya Umar Al-Khatab. Saidina Umar mendengar percakapaan itu dengan perasaan gembira.

Apakah masih ada lagi pemimpin yang berjiwa sebenar rakyat seperti Umar yang kepimpinannya bukan untuk mencari populariti diri sendiri dan mengumpul kekayaan ?. Mereka mencari kekayaan taqwa dan keredhaan Allah. Inilah yang menyebabkan Allah turunkan barakah kepimpinan sehinggakan pada waktu itu serigala dan kambing dapat menjadi haiwan yang berkawan rapat, Subhanallah. Renungilah agar kita mampu untuk menghayati model kepimpinan agung ini.