Kenyataan Media

Kenyataan Media

 

Kerajaan Negeri Selangor Di Gesa

Laksanakan Skim Gaji Minima RM1500

pada Kakitangan Kerajaan

 

 

Angkatan Muda Keadilan

Bahagian Kuala Selangor

2 Disember 2008

 

 

Selaras dengan manifesto Pakatan Rakyat pada pilihanraya lepas yang dikeluarkan serta janji Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan garis panduan had kemiskinan pada paras gaji minima RM1500, gaji kakitangan kerajaan hendaklah dinaikkan bagi mereka yang menerima gaji dibawah paras kemiskinan seperti yang disarankan.

Sesuai dengan usul yang telah dicadangkan oleh Angkatan Muda Keadilan Negeri Selangor dalam Kongres Angkatan Muda Nasional pada 29 November 2008 yang lepas dan telah diterima perwakilan tanpa bahas , saya merasakan bahawa sudah tibalah masanya untuk kerajaan Negeri Selangor ini menyegerakan skim tersebut. Ini membolehkan para kakitangan kerajaan dapat mengecap sedikit lebihan wang gaji sebagai imbangan kepada keadaan ekonomi semasa sekarang ini. Seandainya perkara ini tidak berlaku,maka tahap kemiskinan bandar amat jelas sekali dan kakitangan kerajaan ini adalah penyumbang kemiskinan yang ketara.

”kakitangan kerajaan negeri Selangor berjumlah lebih kurang 16,672 orang di mana 81% daripadanya mempunyai pendapatan dibawah paras RM1500. Seandainya garis panduan ini dilaksanakan maka kakitangan kerajaan ini juga berhak mendapat bantuan sama seperti golongan berpendapatan rendah yang lain”

Saya menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor dapat melihat dan mengkaji cadangan ini supaya sasaran membasmi kemiskinan dapat dicapai. Pada kenyataan media ini juga saya selaku Ketua AMK Kuala Selangor  menggesa agar kerajaan Pakatan Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor khususnya menyediakan pelan kecemasan dalam berhadapan situasi ekonomi global yang sedang menuju era kemelesetan ekonomi yang teruk pada masa hadapan. Kita mengharapkan agar kepentingan rakyat diutamakan terlebih dahulu dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara. Usaha awal dalam berhadapan situasi gawat ini amat perlu sebelum kita terlambat dalam menyediakan sebarang pakej untuk menyelamatkan ekonomi negara kelak.

 

        Akhirnya AMK mengharapkan semua pihak bersedia untuk berhadapan dengan situasi ekonomi dunia yang mana impak dan kesannya juga akan melanda negara jika kita tidak cukup bersedia untuk berhadapan dengan situasi gawat ini.

 

 

Mohd Faizal Baharuddin

Ketua

Angkatan Muda Keadilan

Bahagian Kuala Selangor

 

Merangkap

EXCO AMK Negeri Selangor