Politik Desperado Ezam Mohd Nor

2533656400_6cc07a4decKenyataan Media

Untuk Siaran Segera

ANGKATAN MUDA KEADILAN BAHAGIAN KUALA SELANGOR , PARTI KEADILAN RAKYAT

15hb Januari 2009 / 18hb Muharram 1430 H

Pendedahan Ezam Terhadap ‘Surat Damai Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Mahathir’ Satu Lagi Cubaan Murahan Ahli Politik Desperado.

Pendedahan ahli biasa UMNO Saudara Ezam Mohammad terhadap apa yang dikatakan surat damai antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Mahathir Mohammad merupakan satu lagi tindakan murahan ahli politik desperado. Malahan pendedahan ini sebenarnya tidak membawa apa-apa makna untuk nasib rakyat dan pembangunan siasah negara.

Sehubungan dengan itu, Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kuala Selangor berdiri kukuh bersama kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat. Pendedahan ini hanya bermotifkan untuk memalukan dan mengaibkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh ahli baru UMNO Ezam Mohammad yang hanya layak dijawab segala tohmahan yang dilemparkan ini oleh kenyataan yang dibuat oleh peringkat bahagian PKR sahaja. Dalam hal ini para pimpinan tertinggi PKR dan pihak Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa agar tidak melayan kerenah ‘kebudak-budakkan’ ahli baru UMNO tersebut.

AMK Bahagian Kuala Selangor amat memandang tinggi jika Ezam Mohammad konsisten memperjuangkan nasib rakyat dan pembanterasan rasuah sehingga ke akar umbi tanpa takut dan gentar. Ezam Mohammad dahulu adalah ‘ikon’ kepada golongan generasi muda yang dahulu yang sanggup ke penjara dalam mempertahankan prinsip untuk menghapuskan rasuah di negara ini. Malahan kita juga menyanjung tinggi usaha dan pengorbanan yang telah ditunjukkan selama ini dalam Parti Keadilan Rakyat.

Dalam kenyataan media ini juga AMK Bahagian Kuala Selangor juga membidas pihak-pihak yang terus-menerus melontarkan pembohongan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim pro-Amerika Syarikat. Kita percaya usaha ini adalah untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim. Kita ingin menegaskan bahawa pihak yang menuduh dan membuat kenyataan palsu ini agar mencermin diri dahulu. Soalnya siapakah yang tunduk terhadap pengaruh kuasa besar Amerika Syarikat itu dalam soal perjanjian FTA dan polisi-polisi kerajaan Amerika Syarikat yang lebih banyak membawa mudarat kepada negara dan umat Islam dalam jangka masa panjang.

Malahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga dalam sessi pertemuan dengan pimpinan di Amerika Syarikat menyatakan dengan tegas terhadap kezaliman Amerika Syarikat terhadap pencerobohannya di Afghanistan dan Iraq. Malahan dalam beberapa ketika telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan masyarakat dunia terhadap ketidakadilan kuasa besar itu dalam aspek kawalan kewangan dunia dan antarabangsa serta polisi-polisi menindas kuasa besar tersebut.

AMK Bahagian Kuala Selangor juga mencabar pihak yang membuat dakwaan ini jika benar-benar patriotik agar memanggil balik Duta Amerika Syarikat sebagai tanda protes dan bantahan keras terhadap sokongan erat Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap pencerobohan terbaru Rejim Zionist Israel yang telah membunuh lebih 1000 orang dan mencederakan hampir 5000 orang awam. Dalam sessi khas Parlimen mengenai isu di Gaza,Palestin Dato Seri Anwar Ibrahim dengan beraninya menuntut agar Duta Amerika Syarikat dipanggil balik. Ini bukti bahawa Dato Seri Anwar tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak daripada kuasa besar dunia. Kita juga menggesa jika pihak yang menuduh tidak berani untuk membuat tindakan ini maka terbuktilah siapa yang sebenarnya di bawah pengaruh kuasa besar tersebut.

Akhirnya pihak AMK Bahagian Kuala Selangor dengan lantangnya akan terus bersama-sama Dato Seri Anwar Ibrahim dalam membela nasib rakyat dan ummah secara keseluruhannya. Kita percaya dan yakin bahawa komitmen dan pengorbanannyanya selama ini yang konsisten memperjuangkan keadilan di Malaysia dan di seluruh dunia mendapat dokongan dan sokongan yang kuat rakyat di negara ini dan masyarakat antarabangsa secara amnya.

Mohd Faizal Baharuddin
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Bahagian Kuala Selangor

Di sediakan oleh :

Mohd Ezli Bin Mashut
Ketua Penerangan Merangkap Setiausaha AMK Bahagian Kuala Selangor
No Tel : 017-6543974 / email : ezli007@hotmail.com