Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion Kerajaan Negeri Selangor

keratan-akhbar-sinar-11-mac-2009

Akhbar Sinar Harian

KENYATAAN MEDIA 

ANGKATAN MUDA KEADILAN  BAHAGIAN KUALA SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT 

10 Mac 2009 bersamaan 13hb RabiulAwal 1430

PAKEJ RANGSANGAN  EKONOMI RM50 BILLION KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion oleh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam menghadapi cabaran ekonomi merupakan langkah futuristik dan bijak kepimpinan Negeri Selangor Darul Ehsan. Ketika mana ekonomi global berada dalam situasi paling parah dalam sejarah, Selangor Darul Ehsam muncul dengan menyediakan satu perancangan strategik yang mampu membela nasib rakyat dan membantu negara kembali ke landasan ekonomi yang terbaik.

Sehubungan dengan itu, AMK Bahagian Kuala Selangor menyatakan keyakinan Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor mampu direalisasikan dan memberi pertumbuhan ekonomi baru di negeri Selangor. Sasaran untuk memberi peluang pekerjaan sebanyak 150,000, merupakan bukti dan kesungguhan kerajaan Negeri Selangor untuk membela nasib dan kepentingan rakyat yang kini berhadapan dengan cabaran pemberhentian pekerjaan dan krisis ekonomi global.

Lima langkah yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion ini ialah termasuk pemulihan dan pembersihan Sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab, pembangunan semula bandar tertumpu kepada pembangunan bandar lama seperti Petaling Jaya dan Klang, merangsang projek baru, usaha menaik taraf dan menggantikan aset air, membangunkan sistem jaluran lebar dan sistem tanpa wayar dalam pembangunan teknologi dan komunikasi (ICT), membangunkan semula sistem pengangkutan di negeri ini termasuklah sistem transit aliran ringan (LRT) dan jalan raya.

Kemampuan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan menyediakan satu pelan strategik suntikan ekonomi negeri, merupakan bukti kemampuan dan komitmen yang tinggi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor walaupun baharu setahun memegang tampuk kepimpinan di Negeri Selangor. Malahan janji-janji pilihanraya umum ke-12 yang melalui beberapa fasa perlaksanaan membuktikan pimpinan baharu kerajaan negeri Selangor terus komited melaksanakannya walaupun beberapa pihak memandang sinis realiti sebenar yang berlaku.

Kita juga merasakan kenyataan para pembangkang di negeri Selangor ini yang berterusan memperlekehkan sebarang perancangan positif dan inovatif Kerajaan Negeri Selangor hanya memperlihatkan daya intelektual dan daya fikir mereka yang jumud dan kaku.Sewajarnya mereka memberi suntikan-suntikan idea yang inovatif ,positif dan kreatif  serta tidak hanya terkongkong dengan pandangan politik yang sempit dan tidak bermaya.

Sewajarnya pihak-pihak yang mengkritik secara negatif ini mengemukan pelan dan perancangan mereka juga yang mampu membina semula iklim perkembangan ekonomi negeri dan negara. Apakah mereka telah ketandusan idea dan mati akal sehinggakan segala pembaruan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor ditentang secara emosi dan tidak secara professional dan intelektual.

Dalam pada itu juga, AMK memberi cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam memperincikan lagi Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion ini memberi penekanan kepada perkara-perkara seperti berikut :

Pertama : Pelan Khas Pembangunan Insan Warga Selangor Darul Ehsan.

Pembangunan insan Warga Selangor Darul Ehsan yang menyeluruh wajar dilaksanakan segera. Kita mencadangkan agar Kerajaan Negeri melaksanakan secara intensif pembangunan manusia ini khususnya kepada warga muda, pelajar , wanita , pekerja ,warga tua dan korporat. Malahan pembinaan pembangunan insaniah keluarga juga perlu diberi keutamaan dalam menghadapi cabaran pembentukan keluarga asas yang menghayati ajaran agama dan nilai-nilai keluhuran dan kecemerlangan.

Adalah satu pembangunan yang bijak apabila kerajaan negeri komited membangunkan generasi warga Selangor yang unggul kerana apabila generasi baharu warga Selangor ini cemerlang maka generasi ini juga akan berjaya membina kecemerlangan dalam bidang-bidang yang lain juga. Banyak bukti menunjukkan lahirnya tamadun-tamadun hebat dunia kerana diasaskan oleh lahirnya juga generasi yang unggul kesan daripada pembangunan insan yang strategik dan bijaksana.

Modul pembangunan insan yang unggul perlu merencana pembangunan insan yang utuh daripada segi fizikal, mental dan kerohanian. Pembangunan insan dalam aspek kerohanian perlu ditekankan agar generasi warga Selangor Darul Ehsan yang baharu mempunyai benteng rohani yang mantap dan mampu memberi sumbangan kepada agama,bangsa dan negara.

Kedua : Pelan Khas Pembangunan Ilmu Negeri Selangor Darul Ehsan.

Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan perlu giat melaksanakan pembangunan ilmu di seluruh peringkat rakyatnya. Pembinaan perpustakaan baru yang dilengkap sehingga ke ceruk pedalaman, masjid-masjid,tempat awam dan pejabat-pejabat perlu difikirkan. Selangor Darul Ehsan perlu menerajui proses merakyatkan ilmu yang tidak hanya terperap di universiti-univerisiti sahaja. Malahan tenaga pengajar professional ini juga perlu mengadakan program-program syarahan umum di tempat-tempat awam juga.

Malahan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan juga perlu mengangkat martabat para ulama, intelektual, budayawan dan professional untuk mengembangkan ilmu,kreativiti dan inovasi dalam membentuk Selangor Darul Ehsan menjadi sebuah negeri yang rakyatnya mampu mencipta kebudayaan tinggi dan luhur. Sikap kepedulian yang tinggi dikalangan kepimpinan tertinggi Negeri Selangor mampu memberi rangsangan dan inspirasi yang kuat dalam menyuburkan budaya keilmuan yang tinggi di negeri ini.

Ketiga : Sistem Penyaluran Dana Yang Pantas, Efektif dan Mencapai Kepada Golongan Sasaran dan Objektifnya.

Pakej Rangsangan RM50 Billion ini akan lebih teratur dan berjaya jika dana pakej rangsangan ini dapat disalurkan dengan lebih efektif dan mencapai golongan sasarannya. Pastinya dengan sistem penyaluran yang telus, bertanggungjawab dan cepat mampu merangsang kejayaan sesuatu projek dilaksanakan dengan lebih baik dan tersusun. Kita juga mencadangkan agar Panel Khas daripada beberapa pihak seperti Jabatan Audit, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), professional , para ulama dan intelektual memberi penilaian, nasihat dan bantuan dalam menjayakan segala perancangan yang dirancang menepati jadual dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Keempat : Pelan Pembangunan Masa Hadapan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu diperkasakan daripada aspek pembangunan prasarana,pengurusan dan pemasaran. Kerajaan Negeri Selangor perlu mewujudkan satu pelan baharu dalam Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion ini dengan membawa gerak dan perkembangan IKS di negeri ini. IKS-IKS yang berada dalam kepompong mereka sendiri perlu dijana dengan semangat dan harapan baru untuk mereka keluar ke pasaran yang lebih luas dan global.

Kerajaan Negeri Selangor juga perlu mengangkat taraf IKS agar bersedia menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baru di negeri ini dan juga tempat menyediakan peluang pekerjaan baru di sektor IKS. Kewujudan cabaran dalam pembiayaan,pengurusan dan pemasaran dalam IKS ini boleh diselesaikan dengan menggerakkan agensi kerajaan negeri dan juga syarikat GLC kerajaan negeri dalam membantu memperkembangkan sistem pemasaran produk-produk IKS di Negeri Selangor.

Kelima : Penjagaan dan Pembangunan Alam Sekitar, Lestari Alam dan Penggunaan Sumber Tenaga Baru.

Selangor Darul Ehsan yang menjadi tumpuan pelbagai industri dan kepesatan pendudukan dan ekonomi, sewajarnya mempertingkatkan pembangunan aspek pengurusan alam sekitar dan lestari alam. Hutan-hutan kekal perlu dipelihara, pembangunan yang dijalankan tidak merosakkan alam, penjagaan sungai dan taliair, penjagaan kualiti udara di Negeri Selangor wajar dipertingkatkan.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion ini, peruntukan khas juga perlu disalurkan dalam menggiatkan penggunaan sumber tenaga baru alam seperti sistem tenaga solar untuk kawasan perumahan baru, sistem pengurusan tenaga pintar untuk pejabat,premis dan kediaman.

Kerajaan Negeri Selangor perlu proaktif dalam usaha menangani permasalahan pemanasan suhu dunia dengan mengambil kira kesan kepada alam sekitar terhadap sebarang pembangunan fizikal yang akan dilaksanakan. Selangor yang menjadi negeri maju pertama di Malaysia perlu menjadi model kepada negeri-negeri lain di Malaysia yang perlu ke hadapan dalam aspek pengurusan lestari alam yang sistematik dan terpelihara.

Justeru, diharap cadangan yang dikemukakan dapat diberi perhatian dan pertimbangan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan. Pelan Pakej Rangsangan Ekonomi RM50 Billion ini adalah usaha reformatif kerajaan Negeri Selangor untuk membawa negara keluar daripada kemelut dan cabaran kegawatan parah ekonomi global dan negara.

Malahan,dengan pakej ini juga rakyat Selangor Darul Ehsan dapat menikmati satu kehidupan yang digambarkan di dalam Al-Quran iaitu Negeri Terbaik Yang Mendapat Keampunan Allah. Semoga Selangor  Darul Ehsan mampu memacu kembali ekonomi Malaysia keseluruhannya.

Oleh : MOHD EZLI MASHUT

KETUA PENERANGAN,

AMK BAHAGIAN KUALA SELANGOR

No Tel : 017-6543974 / email :ezli007@hotmail.com