Utusan Malaysia Jangan Jadi “Penyebar Perpecahan Rakyat”

 

Kenyataan Media
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)
16 April 2009

Tanggal 8 Mac 2008 menyaksikan rakyat Malaysia telah meletakkan satu batu asas penting di dalam sejarah sosio-politik negara: yakni penolakan ke atas politik perkauman sempit. Ini bersesuaian sekali dengan iltizam Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lewat Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafazkan beliau tatkala laungan merdeka bergema di udara pada pagi 31 Ogos 1957:

Tanah Melayu (kini Malaysia) akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa..

Semangat dan roh perpaduan ini jelas sekali melangkaui sempadan ras dan agama. Integrasi sosial adalah sesuatu yang luhur dan perlu dibentuk melalui perpaduan dan persefahaman yang utuh di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

Seruan Utusan Malaysia melalui siaran 15 April 2009 antara lain menyeru agar bangsa Melayu bersatu untuk ‘berhadapan dengan bangsa lain”. Apakah rasional Utusan tergamak untuk mengeluarkan berita sedemikian rupa yang sangat tebal sentimen perkaumannya?

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) bersetuju bahawa Melayu perlu bersatu,tetapi bersatu di dalam konteks bersama-sama bangsa lain untuk memajukan dan mengekalkan keamanan negara. AIC yakin dan percaya bahawa segenap lapisan generasi muda rakyat Malaysia menolak sama sekali unsur penyatuan hanya untuk menindas dan bersaing secara tidak adil dengan bangsa lain.


Utusan Malaysia, sebagai lidah rasmi pemerintah khususnya Umno sewajarnya bertanggungjawab untuk mengajak rakyat agar keluar daripada kepompong perkauman, sejajar dengan konsep “Satu Malaysia” yang digagaskan oleh Perdana Menteri yang baru. Tetapi adalah sangat mendukacitakan, dalam keadaan Malaysia hampir menjangkau 52 tahun kemerdekaan, Utusan Malaysia masih lagi memainkan polemik perkauman sempit sebagai modal politik murahan.

Utusan Malaysia harus mengambil iktibar sejarah Si Kitul, pencacai yang bertanggungjawab di atas kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511. Politik adu domba dan menyemai kebencian adalah faktor utama jatuhnya empayar terhebat Melayu satu ketika dahulu. Apakah Utusan Malaysia mahu menobatkan diri mereka selaku Si Kitul Moden?

Justeru, AIC menolak sebarang usaha menyemai benih kebencian antara kaum yang ligat dimainkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Sudah sampai masanya muafakat antara Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain bangsa dipupuk secara sihat dan segar tanpa ada elemen penindasan ke atas mana-mana bangsa mahupun agama sekali pun.

Adalah lebih wajar bagi Utusan Malaysia, selaras dengan tagline mereka iaitu “Penyebar Fikiran Rakyat” menyebarluas agenda integrasi nasional yang memupuk semangat cintakan negara melangkaui sempadan perkauman, bukannya berkelakuan sebagai “Penyebar Perpecahan Rakyat”.

Muhammad Shukri Saad
Presiden
n090415_32
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)

——————————————————————————–

AMK KS menggesa agar Utusan Malaysia berubah dan membina imej negara yang lebih positif di samping membantu mempertingkatkan budaya ilmu dan intelek dalam menyebar maklumat yang tepat dan sahih.