Selangor Bentuk Panel Penasihat Ekonomi

my-selan

KENYATAAN AKHBAR
Isnin, 20 April 2009

Selangor Bentuk Panel Penasihat Ekonomi

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sudah membentuk Panel Penasihat Ekonomi sebagai langkah memberikan nasihat terutama berkaitan pembentukan dasar dan proses pelaksanan yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan baru-baru ini.

Panel tersebut yang terdiri sembilan ahli dilantik, melibatkan profesional dalam pelbagai bidang termasuk pakar ekonomi, peguam, ahli akademik dan akauntan. Mereka dijangka mengemukakan nasihat strategik dan input terhadap pelbagai usaha merancakkan program dan rancangan ekonomi kerajaan Selangor yang selari dengan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Perkhidmatan pakar-pakar tersebut diperlukan sehingga dua tahun lantaran Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor melibatkan rancangan jangka panjang dan jangka pendek.

Ahli-ahli panel diminta membantu Kerajaan Negeri dalam hal melaksanakan projek-projek strategik termasuk yang melibatkan matlamat dan objektif Pakej, waktu pelaksanaan dan sumber-sumber yang diperlukan bagi menjayakan seluruh ruang lingkup pelaksanaannya.

Gerak kerja Panel Penasihat Ekonomi itu dibantu oleh Sekretariat yang bertujuan menyelaraskan dan memudahkan pelan tindakan dengan kerajasama pihak Kerajaan Negeri. 

Sebagai bahagian dalam proses pelaksanaannya, Kerajaan Selangor dijangka mengadakan taklimat khas bagi setiap isu yang berkaitan dengan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menerusi siri menyuarat dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) pada setiap Jumaat.

Mesyuarat juga diadakan dengan ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sebagai usaha menerima input dan penambahan idea lain yang bersesuaian demi mencapai hasil yang memuaskan semua pihak.

Dalam hubungan ini, pendekatan pendengaran awam atau perundingan terbuka sebagai usaha menerima maklum balas daripada pakar-pakar dalam pelbagai organisasi, sedang dalam pertimbangan untuk diwujudkan. Inilah antara usaha Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang sentiasa menerima pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak terutama kalangan professional.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

———————————————————————————————————————-

Semoga panel penasihat ekonomi ini juga melibatkan kalangan orang-orang muda agar dapat sama-sama memberikan sumbangan idea-idea yang inovatif dalam memajukan lagi negeri Selangor ini. Penyertaan golongan orang muda juga diharap dapat menjadi satu kesinambungan kelak dengan menyediakan barisan muda yang berketerampilan dan berwibawa pada masa hadapan.

AMK KS.