Sdr Mansor Othman Sebagai Calon PKR di Penanti

– KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA –
28 April 2009

(Permatang Pauh, Pulau Pinang) Sesudahnya tsunami politik Mac 2008, rakyat Malaysia kembali ke peti undi sebanyak lima kali. Empat darinya kita menyaksikan rakyat Malaysia memilih Pakatan Rakyat, yang kelimanya walaupun dicemari politik wang dan penipuan, menunjukkan betapa rakyat begitu mengidamkan perubahan dan politik baru di negara ini.

Mesejnya jelas. Rakyat Malaysia mahukan perubahan dan menidakkan pemerintahan BN yang dikuasai Umno. Mereka mendakap perjuangan Pakatan Rakyat yang mahukan rakyat bersatu padu dan berusaha membasmi rasuah serta memastikan tidak ada lagi kaum yang dipinggirkan, baik Melayu mahupun kaum bumiputera Sarawak dan Sabah.

Oleh itu saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan calon KEADILAN bagi kawasan Penanti pada pilihanraya 31 Mei ini ialah En. Mansor bin Othman. Beliau merupakan Ketua Bahagian KEADILAN Balik Pulau dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri KEADILAN Pulau Pinang. Beliau juga telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat KEADILAN. En. Mansor Othman juga telah berkhidmat dengan saya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri sebagai Setiausaha Politik dari tahun 1996-1998.

Beliau telah mencurahkan tenaga demi membawa pembangunan ke Pulau Pinang dan saya yakin beliau bersedia untuk berkhidmat untuk penduduk Penanti sepenuh jiwa dan raga.

En. Mansor merupakan pemegang ijazah sarjana dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana falsafah serta sarjana sastera dari Universiti Yale. Beliau merupakan Profesor Madya di USM dan Pengarah Pusat Kajian Dasar. Beliau secara aktif berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan program belia di Pulau Pinang dengan penglibatan sebagai ahli Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat dan Jawatankuasa Program Pembangunan Belia. Sebagai exco PEMADAM, beliau bekerja keras meningkatkan kesedaran awam berhubung penyalahgunaan serta langkah-langkah pencegahan dari terlibat dengan dadah.

Melalui program TEKUN di mana beliau sebagai Pengurus Besar, En. Mansor Othman terlibat secara aktif dalam pembangunan usahawan bumiputera, bertujuan meningkatkan kemahiran usahawan kecil dan sederhana serta membiayai usaha mereka dengan pemberian kredit mikro.

Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana sudi bersama kita malam ini dan membuktikan kepada semua keteguhan kerjasama Pakatan Rakyat. Parti Keadilan Rakyat yakin DAP dan PAS pasti bersama-sama di dalam pihanraya kecil ini bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat.

ANWAR IBRAHIM