AMK SELANGOR DESAK TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN BEBAS

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN SELANGOR

UNTUK EDARAN SEGERA

16hb JULAI 2009

AMK SELANGOR DESAK TUBUH SURUHANJAYA  SIASATAN BEBAS

6c1bfa220589f4ddb2a566e8d8cde12a (1)

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak sebuah Suruhanjaya  Penyiasatan Bebas diwujudkan untuk menyiasat  insiden kematian Teo Beng Hock di bangunan Plaza Masalam Shah Alam yang juga menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14. AMK Selangor sehingga kini merasakan pelik dan hairan bagaimana kejadian tragis itu boleh berlaku yang membabitkan secara terus dengan pihak SPRM.

AMK Selangor juga menuntut agar semua pihak media massa melaporkan kejadian ini secara tepat dan tidak disongsangkan daripada fakta kejadian sebenar. Insiden tragis ini menuntut penjelasan kepada pihak SPRM segera. Adalah perlu semua pihak yang ada kaitan dengan insiden hitam ini disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.

AMK Selangor ingin menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Teo Beng Hock dan berharap tabah dan sabar menerima berita insiden yang sepatutnya tidak berlaku. AMK Selangor akan terus menuntut keadilan agar insiden ini mendapat pembelaan dan tidak dipendamkan begitu sahaja.

AMK Selangor berharap semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik,bangsa dan agama bersatu mendesak pihak kerajaan mempercepatkan siasatan kes ini. Jika perlu prosedur penyiasatan SPRM dikaji semula oleh panel bebas untuk memperbaiki kelemahan yang wujud.

Kini, SPRM perlu berhadapan dengan rakyat untuk memberikan penjelasan sebenar serta tidak melindungi mana-mana pegawai SPRM yang akan disiasat. Justeru, AMK berharap Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ini dapat merungkai kematian Teo Beng Hock yang penuh misteri dan tanda tanya.

Angkatan Muda Keadilan Selangor