Ucapan Penangguhan Ketua AMK Kuala Selangor Dalam Mesyuarat Penuh AHLI MAJLIS

Ke Manakah Halatuju Daerah Kuala Selangor ?IMG_16895

Bissmilahirahmahnirrahim.

Yang dihormati,

Yang Dipertua Tuan Hj Harris b. Kasim,

Y.D.H  Tuan Mohamad Yaakob b. Dato’ Ismail, Orang Besar Daerah.

Ahli-ahli Majlis,

Ketua-ketua jabatan dan para pemerhati yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera,salam reformasi.

Sebelum itu, izinkan saya untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan kepada semua yang beragama islam yang sedang menunaikan ibadah puasa semoga dirahmati dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dari Allah swt diatas amal ibadah yang kita laksanakan dibulan yang mulia dan penuh berkah ini.Insyaallah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kuala Selangor adalah bermulanya sejarah hebat negeri Selangor masakini. Negeri ini menjadi nadi utama negara yang menyumbangkan pendapatan yang terbesar kepada Malaysia. Justeru melihat jauh ke hadapan kita harus memikirkan perancangan dan agenda besar untuk melihat Kuala Selangor maju bersama-sama dan menjadi pencetus ekonomi baru kepada Selangor.

Pembentukkan sebuah tamadun yang hebat perlu dimulakan dengan membangunkan potensi warganya yang maju dalam pembangunan insan dan juga intelek. Generasi muda wajar diberi peluang dan fokus yang khusus agar mereka dapat membawa satu cetusan baru dan perubahan di kawasan Kuala Selangor.

Mendepani perubahan.

Majlis Daerah Kuala Selangor perlu berubah imej dan penampilan. Tempelan bahawa MDKS berfungsi hanya berkaitan pengurusan sampah dan penguatkuasaan undang-undang tempatan sahaja perlu diubah. MDKS perlu menjadi agen kepada perubahan dan landskap baru budaya dan minda masyarakat di kawasan ini.

Cadangan dan membawa masa hadapan Daerah Kuala Selangor

1.   Membina budaya penyelenggaran yang baik dan efektif.

Seringkali terdengar rungutan masyarakat berkenaan lampu jalan tidak berfungsi dengan baik. Ianya menggambarkan suasana budaya penyelenggaran terhadap sesuatu kemudahan dan premis yang perlu dipertingkatkan.

2.   Memperkasa Pembangunan Insan Generasi Muda

Aktiviti pembangunan insan generasi anak muda perlu dipertingkatkan. Gejala kerosakkan moral generasi muda masa kini sebenarnya menggambarkan suasana dan corak masa hadapan negara. Justeru memberi penekanan kepada aspek pembangunan kerohanian dan dalaman generasi muda amat penting kerana aset ini perlu digilang potensi dan bakatnya agar mereka mampu menyumbang kecemerlangan kepada kawasan setempat dan juga komuniti.

3.   MDKS perlu belajar daripada pembangunan dan pengurusan yang sistematik negara-negara maju dan moden.

Satu pasukan khas perlu ditubuhkan untuk memantapkan pelan pembangunan daerah Kuala Selangor serta memperbaiki pengurusan kerajaan tempatan yang lebih dinamik, mesra pengguna dan akauntabiliti. Mengambil pendekatan pengurusan yang efektif seperti bandaraya di Singapura, Jepun, Dubai dan negara Eropah yang dilihat lebih baik dan mencapai standard pengurusan yang sistematik dan efektif.

4.   Penjenamaan semula Kuala Selangor agar nama Kuala Selangor lebih terserlah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penjenamaan semula daerah Kuala Selangor perlu dilakukan. Imej yang agak kabur dan malap perlu diubah kepada sesuatu imej dan jenama yang lebih menarik, kreatif dan juga mantap. Potensi keindahan alam semula jadi, sawah padi,kuala sungai, sungai dan bukit bukau, aktiviti pertanian perlu dikomersilkan dengan pendekatan dan gaya baru. MDKS perlu menjadikan penjenamaan semula daerah Kuala Selangor itu sendiri agar mampu menarik perhatian negara dan antarabangsa.

Sumber semulajadi ini adalah potensi besar untuk mempertingkatkan pendapatan MDKS dengan limpahan ekonomi agro-pelancongan dan juga perniagaan. Perusahaan tradisional, IKS, hotel dan homestay perlu disepadukan dalam satu program besar yang mampu memberi impak ekonomi yang besar.

5.   Pemuliharaan dan lestari alam sekitar yang nyaman dan mendamaikan.

MDKS perlu memikirkan dan memastikan alam sekitar terus terjamin dan terpelihara. Kilang-kilang, ladang-ladang penternakan dan pembuangan sampah perlu kepada pengurusan yang menepati tahap piawaian alam sekitar.

Justeru, saya mengharapkan agar MDKS dapat menjadi contoh yang terbaik kepada seluruh majlis daerah yang ada di Selangor khususnya dan negara amnya. Bersama-sama kita berganding usaha dan tenaga demi mempertingkatkan kualiti kesejahteraan hidup kekal pada paras yang amat memuaskan dan disamping mencapai visi kearah menjadikan MDKS sebuah majlis Perbandaran.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah atas kemenangan Pakatan Rakyat dalam mengekalkan kerusi di DUN Permatang Pasir. Ini membuktikan bahawa isu “pengkhianat melayu”  dilabelkan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dimainkan oleh Umno-BN telah ditolak oleh rakyat keseluruhannya.

Dengan ini, saya sudahi ucapan penangguhan ini dengan wabillahitaufik wal hidayah,wassalamualaikum wbt.

Sekian,terima kasih.

Mohd Faizal Baharuddin

Ahli Majlis MDKS

Ketua Angkatan Muda Keadilan Kuala Selangor